Tuesday, March 3, 2009

ISLAM TIDAK MENGHADKAN MASA KEPIMPINAN

Oleh:GHAFANI BIN AWANG TEH
BAHAGIAN KESUMA, JAKIM
Beberapa pemimpin dunia yang rakus memerintah dimufaraqah dan digulingkan oleh rakyat. Mantan Presiden Ferdinand Marcos memimpin Filipina selama 18 tahun (1965–1983), Shah Iran memerintah Iran selama 38 tahun (1941–1979), dan Presiden Suharto Indonesia memerintah selama 30 tahun (1968–1998) adalah antara pemimpin dunia yang dimufaraqahkan secara kekerasan oleh rakyat jelata.

Terdapat juga pemimpin yang lama memerintah tetapi tidak digulingkan oleh rakyat jelata. Presiden Fidel Castro memerintah negara Cuba selama 47 tahun (1959–20 Februari 2008). Beliau berundur setelah kesihatannya lemah. Muammar Ghaddafi pula memimpin Libya sejak tahun 1969 hingga kini (39 tahun) terus bertahan kukuh. Dr. Mahathir Mohamad bekas Perdana Menteri memimpin selama 22 tahun (1981–2003) adalah Perdana Menteri paling lama memimpin Malaysia setakat ini.

Persoalan besar timbul ialah apakah Islam menentukan tempoh tertentu bagi seseorang memimpin negara? Kalau kita lihat kepimpinan dua puluh lima orang Rasul–Rasul Allah, maka didapati Rasul–Rasul itu menjalankan tugasnya sampai ke akhir hayat. Rasulullah S.A.W sendiri menjadi pemimpin negara dan masyarakat Islam selama 23 tahun. Khalifah–Khalifah al–Rasyidin juga memimpin negara ISlam sampai ke akhir hayat. Berdasarkan sunnah ini, maka jelas Islam tidak menentukan had tempoh tertentu untuk memimpin negara dan rakyat jelata.
Pada prinsipnya aktiviti kepimpinan adalah termasuk sebagai tugas dakwah atau dianggap ibadah kerana tugas mulia menolong rakyat ke arah kebaikan. Niat yang betul dan gaya kepimpinan yang selari dengan ajaran Islam maka kepimpinan itu akan diberi ganjaran pahala yang besar oleh Allah SWT. Sebab itu para Rasul–Rasul Allah dan Khulafa′ al–Rasyidin memimpin umatnya hingga ke akhir hayat. Demi mempertahankan kemuliaan hak kepimpinan ini, mereka tidak mudah mengalah dan menghadapi dengan sabar menyelesaikan masalah negara, rakyat dan menghadapi musuh–musuhnya.

Persoalan besar timbul ialah apakah syarat yang ditetapkan Islam bagi memenuhi ciri kepimpinan yang bersifat dakwah itu?. Al–Quran menetapkan secara umum kriteria seseorang pemimpin. Kriteria itu ialah seorang yang mampu memberi manfaat bagi orang yang dipimpinnya (al–Maaidah: 42), pemimpin itu orang bercakap benar, pembawa berita gembira dan pemberi peringatan kepada orang yang dipimpin (al–Baqarah: 119), dan pada diri pemimpin itu terdapat contoh teledan yang baik untuk diikuti (al–Ahzab: 21).

Ketika mengulas tanggungjawab dalam kepimpinan, Rasulullah S.A.W bersabda, maksudnya, :“Sesiapa di antara pemimpin yang dipertanggungjawabkan memimpin rakyatnya tetapi melakukan penipuan, maka Allah mengharamkan Syurga ke atasnya (Riwayat Bukharin dan Muslim). Dalam hadis lain Rasullulah S.A.W memberi peringatan maksudnya, “Mana-mana pemimpin yang menguruskan umat Islam sedangkan ia tidak mempedulikan maslahah rakyat jelata maka ia tidak akan masuk Syurga.” (Riwayat: Muslim)

Menurut Mawardi dalam bukunya ‘Ahkam Sultaniah’ menyatakan tujuh kriteria seorang pemimpin Islam iaitu, adil, mempunyai kelayakan untuk berijtihad, sempurna dan sihat pancaindera, sihat fizikalnya, mempunyai visi menjaga kemaslahatan rakyat, bersifat tegas dan berani, serta berketurunan Quraish. Kriteria terakhir pandangan Mawardi dianggap oleh ulaja lain adalah sebagai keutamaan sahaja.

Menurut Yusuf Qaradhawi dalam bukunya ‘Fiqh Daulah’ menyatakan Islam memandang seorang pemimpin itu sebagai wakil atau orang yang diupah untuk mentadbir urusan umat. Oleh itu umat berhak untuk memperhitungkan kesilapan wakilnya atau mencabut perwakilan tersebut daripadanya bila–bila masa, terutama jika dia terbukti tidak menunaikan kewajipan dan tanggungjawabnya. Seorang pemimpin dalam Islam bukan merupakan seorang penguasa yang kebal daripada kesalahan atau berada di atas undang–undang.

Kepimpinan negara adalah amanah rakyat. Bagi memberi peluang kepada pemimpin mengendalikan urusan negara dengan licin, maka rakyat wajib mentaati pemimpin. Rasulullah S.A.W bersabda, bermaksud: seseorang muslim wajib mendengar dan mentaati (perintah) samada kita suka atau tidak, selagi kita tdak diperintahkan untuk melakukan maksiat. Jika kita diperintahkan melakukan maksiat, maka kita tidak boleh lagi mendengar atau pun mentaati pemerintah (Riwayat: Muttafaq alaihi).

Menurut Yusuf Qaradhawi lagi, seseorang pemimpin hanya manusia biasa yang boleh salah dan silap. Oleh itu kaum muslimin wajib menegur dan meluruskan tindakannya apabila seseorang pemimpin menyeleweng daripada tanggungjawab kepimpinannya.

Mufaraqah dalam kepimpinan politik dan sosial boleh diqiaskan dalam kepimpinan sembahyang berjemaah. Bagi menjamin kesempurnaan sembahyang berjemaah, maka Makmum boleh menegur Imam jika didapati Imam lupa dalam bacaan atau melakukan kesilapan rukun. Malah dalam keadaan tertentu Makmum boleh melakukan mufaraqah jika Imam terus melakukan kesalahan dan tidak mengendahkan pembetulan yang dikemukakan. Demikianlah juga dalam keadaan politik. Rakyat berhak menegur dan jika perlu melakukan mufaraqah bagi menjamin keamanan negara, keteguhan organisasi dan hak rakyat.

1 comment:

Anonymous said...

Sdr.Junaidi...
Dalam konteks negara kita Malaysia, siapakah yang dimaksudkan 'pemimpin' dalam hadis nabi itu ? Adakah dia ialah Sultan ? atau Yang Dipertuan Agong? atau Perdana Menteri ? atau Menteri Besar ? atau Ketua menteri..? Tak faham saya tolong jelaskan..