Sunday, December 28, 2008

SELAMAT MENYAMBUT AWAL MUHARAM 1430 H


selamat menyambut awal Murharam 1430 hijrah

Gandingan bekas penyandang dan calon menang amat perlu bagi perkuat parti

28th December, 2008 NST
KOTA KINABALU: Gandingan serta kerjasama antara bekas penyandang dan calon yang menang pada persidangan perwakilan Umno bahagian baru-baru ini amat perlu bagi memperkuatkan lagi parti.
Ketua Penerangan Pergerakan Wanita Umno Sabah, Datuk Jainab Ahmad, berkata gabungan kekuatan kedua-dua kepimpinan perlu dimanfaatkan bagi menguatkan parti dan seterusnya membela nasib rakyat.
“Saya setuju dengan pandangan supaya calon yang kalah dipertimbangkan untuk terus mendapat tempat dan memainkan peranan dalam parti.
“Ini kerana setiap kepimpinan ada kekuatannya sendiri dan pastinya adat pertandingan yang menang ada penyokongnya dan yang kalah juga ada penyokongnya.
“Jadi kalau kedua-duanya memainkan peranan, saya percaya Umno akan menjadi lebih kuat dan mampu membela nasib rakyat dengan lebih berkesan,” katanya di sini kelmarin.
Beliau mengulas mengenai pandangan Badan Perhubungan Umno Kelantan supaya Ketua Umno bahagian dan sayap parti yang baru dipilih pada persidangan perwakilan bahagian baru-baru ini supaya tidak menyisihkan bekas penyandang dan calon lain yang tewas.
Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa, dipetik berkata, sebaliknya, mereka yang tewas itu sewajarnya diberikan peranan memegang jawatan sebagai ahli jawatankuasa bahagian.
Kata Annuar, langkah itu amat penting kerana ia boleh me-ngembalikan semula perpaduan dan mengeratkan keretakan yang sedikit terjejas sepanjang kempen pemilihan parti baru-baru ini.
Menurut Jainab yang juga Ketua Wanita Umno Bahagian Sepanggar, cara itu juga dapat memastikan penyandang atau ca-lon yang tewas tidak berasa tersisih seterusnya dapat meneruskan khidmat kepada parti.
Bagaimanapun katanya, peranan yang harus diberikan kepada bekas penyandang dan calon yang kalah terserah kepada ketua bahagian masing-masing untuk menentukannya.
“Ia terserah kepada ketua bahagian untuk memberikan peranan kepada mereka sama ada untuk dilantik sebagai ahli jawatankuasa atau biro atau penasihat kerja tetapi yang penting hubungan antara yang kalah dan menang dapat dirapatkan,” katanya yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian.
Dalam pada itu katanya, Wanita Umno Sepanggar pada masa ini memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Ketua Bahagian baru, Jumat Idris.
Katanya, tidak ada masalah yang timbul dalam melaksanakan aktiviti dan program pembangunan kerana segala perancangan sentiasa dibincangkan bersama.