Tuesday, December 30, 2008

Golongan belia dinasihat tidak mudah terpedaya pelbagai dakyah -Datuk Sapawi


22nd December, 2008
BEAUFORT: Golongan belia dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya dan terpengaruh dengan pelbagai dakyah yang disebarluaskan pada ketika ini. Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Sapawi Ahmad, berkata ketika ini terdapat usaha pihak tertentu bagi mempergunakan golongan belia dengan menjadikan isu perkauman bagi memperdaya dan mempengaruhi golongan tersebut. “Usaha pihak tertentu itulah yang harus diawasi,” katanya pada pelancaran Karnival Jiran Muda peringkat pedalaman bawah di Taman Wawasan di sini, kelmarin. Karnival yang melibatkan tiga daerah iaitu Kuala Penyu, Beaufort dan Sipitang itu turut dihadiri oleh Pegawai Perpaduan dan Integrasi Nasional Beaufort, Awang Anak Abdul Sani, Penyelaras Rukun Tertangga Sipitang, Fauziah Salleh dan Timbalan Penyelaras Rukun Tetang-ga Beaufort, Roslan Muharam serta 100 peserta. Sapawi memberitahu golongan belia perlu menyedari betapa kerajaan sentiasa berusaha memastikan mereka menjadi golongan yang bukan sahaja berguna tetapi berkualiti tinggi. “Kerajaan sentiasa berusaha melahirkan golongan belia yang berkualiti dan mampu menjadi aset utama kepada kerajaan pada masa akan datang,” katanya dan menambah usaha yang dilakukan oleh kerajaan itu meliputi semua aspek. Menurutnya, kerajaan bukan sekadar mahu melahirkan golongan belia yang berkemahiran tetapi juga menerapkan nilai-nilai kepimpinan dengan meletakkan perpaduan dan persefahaman sebagai asas utama. Beliau memberitahu keharmonian dan kemakmuran yang dinikmati oleh rakyat pelbagai kaum di negara ini adalah hasil kebijaksanaan para pemimpin sejak dahulu dan dapat dipertahankan pada ketika ini. “Ini adalah sejarah penting dan golongan belia perlu menyedari betapa pentingnya persefahaman dan perpaduan kaum dalam memastikan keharmonian serta kemakmuran itu terus dapat dinikmati,” katanya lagi. Sambil menyelar pihak tertentu yang mempergunakan golongan belia, Sapawi berkata golongan belia perlu menolak usaha pihak tertentu itu yang berusaha menimbulkan isu per-kauman bagi mendapatkan sokongan. Sehubungan dengan itu beliau memberitahu golongan belia harus bertindak bijak dalam membuat sebarang keputusan. Katanya, terdapat segelintir golongan belia terpengaruh dan terpedaya dengan usaha pihak tertentu itu sedangkan apa yang dilakukan oleh golongan belia hanya untuk kepentingan pihak terbabit. “Jadilah golongan belia yang bertanggungjawab dalam memastikan keharmonian dan kemakmuran terus dinikmati dengan kita memberi keutamaan kepada perpaduan dan persefahaman antara kaum,” katanya lagi.

No comments: