Friday, December 26, 2008

PM mahu rakyat nilai, eratkan perpaduan




PUTRAJAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu rakyat menilai semula dan memperkukuhkan semangat saling memahami antara kaum yang menjadi asas perpaduan negara selama ini.

Perdana Menteri berkata, setiap rakyat mesti memainkan peranan bagi mengeratkan lagi hubungan dan semangat muhibah di kalangan masyarakat majmuk dalam suasana sosioekonomi yang semakin kompleks.



"Hubungan muhibah sesama kita haruslah sentiasa diperbaharui agar kita dapat menangani cabaran yang pasti timbul dalam suasana sebuah masyarakat majmuk yang cukup unik," katanya dalam perutusan sempena sambutan Krismas.

Beliau berkata, usaha itu hendaklah terus dilaksanakan bukan sekadar pada tahap pembinaan toleransi dan sambutan perayaan saja, malah mesti menjurus ke arah satu persefahaman yang lebih kukuh dan apresiasi antara satu sama lain yang utuh lagi ikhlas.

Abdullah berkata, semangat saling memahami itulah yang membolehkan rakyat menikmati bersama segala kemajuan dan pembangunan yang dicapai selama ini.

"Adalah amat naif sekiranya kita menganggap tanggungjawab untuk membina perpaduan hanya patut disandarkan kepada kerajaan semata-mata.

"Kita juga tidak sepatutnya menganggap usaha ke arah perpaduan adalah tanggungjawab orang lain, malah ia sebenarnya terletak pada bahu kita sendiri," katanya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan, masyarakat sivil dan rakyat harus bekerjasama bagi mengekalkan serta memperkukuhkan lagi perpaduan.

Beliau juga berharap nasib golongan kurang bernasib baik, terutama yang ditimpa musibah tanah runtuh dan banjir baru-baru ini, tidak dilupakan ketika rakyat beragama Kristian gembira menyambut perayaan Krismas bersama sanak saudara dan rakan-rakan,

"Dalam suasana kita menyambut Krismas, marilah kita sama-sama menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan," katanya sambil mengucapkan Selamat Menyambut Hari Krismas kepada rakyat beragama Kristian.

Sementara itu, Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat juga meminta rakyat supaya meningkatkan tahap persefahaman dan saling menghormati antara kaum yang dapat disemai menerusi interaksi.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman pula menyeru rakyat supaya mengelak daripada menyebarkan sentimen agama dan perkauman yang boleh membawa kesan negatif terhadap integrasi.

"Saya harap kita berdiri teguh dalam wawasan kita untuk terus bersatu padu," katanya.

BH

No comments: